Oleh Rosnah Ahmad
TANGGUNGJAWAB mengasuh dan mendidik anak dalam
era globalisasi hari ini tidak hanya terletak pada bahu ibu bapa.
Semakin hari semakin ramai ibu yang keluar bekerja dan anak terpaksa
ditinggalkan bersama pengasuh di rumah atau dihantar ke rumah pengasuh,
taman asuhan atau pusat jagaan harian.
Sebenarnya
pengasuh memainkan peranan penting dalam membangunkan sebuah generasi.
Contoh paling unggul iaitu Rasulullah SAW telah dititipkan kepada ibu
susuannya, Halimah as-Saadiah untuk disusukan dan diasuh. Nabi Musa
juga mempunyai ramai dayang pengasuh di istana Firaun.
Tarbiah
pada usia awal anak sangat mendalam kesannya. Abdullah Nashih Ulwan,
seorang cendekiawan pendidikan Islam menegaskan bahawa kecemerlangan
seorang anak adalah kesan daripada amalan dan pengalaman sejak kecil
hingga berusia enam tahun.
Untuk membawa seorang anak kepada
kecemerlangan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia menuntut peranan mengasuh
dan mendidik dengan dikongsi secara pintar oleh ibu bapa, pengasuh dan
tidak kurang penting orang dewasa dalam masyarakat. Mereka mesti
berperanan secara kolektif untuk mencapai matlamat melahirkan khalifah
Allah di bumi ini.
Berikut adalah lima peranan utama ibu bapa, pengasuh dan orang dewasa:
# Sebagai qudwah hasanah.
Segala
pertuturan, tingkah laku dan amalan kita akan menjadi contoh dan ikutan
anak. Fitrah anak memang suka meniru. Jadi pastikan kita sentiasa sedar
kesan yang diberikan kepada anak.
Kita mesti sentiasa berusaha
memperbaiki diri untuk berakhlak mulia dengan akhlak Rasulullah SAW. Ia
seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri
Rasulullah itu suri teladan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat, serta
ia sentiasa menyebut dan mengingati Allah.” (Surah al-Ahzaab, ayat 21)
# Mengasuh dan mendidik dengan adat kebiasaan.
Islam
menyarankan anak dididik melalui dua cara iaitu pengajaran dan
pembiasaan. Pengajaran adalah teori yang diajar kepada anak, sementara
pembiasaan adalah usaha secara praktikal untuk membina kebiasaan dalam
diri anak.
Imam al-Ghazali menyebut: “Anak amanah bagi kedua-dua
orang tuanya, dan hatinya yang suci adalah permata yang mahal harganya.
Jka dibiasakan pada kebaikan dan diajarkan kebaikan kepadanya, maka ia
akan tumbuh pada kebaikan itu dan akan bahagialah di dunia dan
akhirat…”
Contohnya, anak diajar untuk menyebut kalimah
Lailahaillallah, tetapi pada masa sama mereka mesti dibiasakan untuk
beriman dengan sepenuh jiwa dan hatinya bahawa tiada Tuhan yang berhak
disembah melainkan Allah. Caranya dengan mengajak anak untuk
menggunakan pancaindera mereka untuk meneroka alam ciptaan Allah dan
merasa kebesaran-Nya melalui ciptaan-Nya.
Begitu juga apabila anak diajar rukun solat dan kebiasaan solat diterapkan dalam diri mereka melalui solat secara berjemaah.
Cara
pengajaran dan pembiasaan sangat berkesan bagi membentuk iman dan
meluruskan akhlak anak. Pepatah Melayu juga ada menyebut melentur buluh
biarlah daripada rebungnya.
# Mendidik melalui nasihat.
Islam
sangat menekankan nasihat. Allah berfirman bermaksud: “Demi masa,
sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali orang yang beriman
dan mengerjakan amal soleh, nasihat menasihati supaya mentaati
kebenaran dan nasihat menasihati supaya bersabar.” (Surah al-Asr 1-3)
Contoh
lain yang biasa kita dengar adalah nasihat Lukman kepada anaknya untuk
mentauhidkan Allah, berbuat baik kepada ibu bapa, mendirikan solat dan
berakhlak mulia seperti dalam surah Luqman, ayat 13-17.
Nasihat
sangat berkesan sekiranya diberikan secara kiasan melalui cerita.
Sesungguhnya al-Quran sarat dengan cerita nabi dan kaumnya yang
berunsur nasihat serta peringatan.
Tegur dan nasihat anak dengan
menerangkan akibat perbuatan mereka apabila melakukan perkara yang
membahayakan diri atau orang lain, merosakkan barang atau alam semula
jadi dan tidak mengikut akhlak serta syariat Islam.
# Memberi perhatian dan sebagai pemudah cara.
Memberi
perhatian membawa maksud sentiasa peka kepada keperluan, kecenderungan,
pertumbuhan dan perkembangan anak. Perkembangan mereka hendaklah
disuburkan secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang dengan enam
komponen penting iaitu rohani, fizikal, kognitif, bahasa, sosioemosi
serta kreativiti dan estetika.
Kita juga harus berperanan
sebagai pemudah cara dengan menyediakan rangsangan, persekitaran,
peralatan dan bimbingan mengikut tahap serta kebolehan anak.
Contohnya,
anak berusia dua tahun mula suka menolong orang lain dan melakukan
sendiri semua perkara. Bekas berisi air dan cawan hendaklah diletakkan
pada tempat selamat dan mudah dicapai anak supaya mereka boleh menuang
sendiri air untuk diminum.
Kita sebagai pemudah cara hanya perlu
membimbing anak untuk melakukan sendiri, belajar daripada kesilapan dan
pengulangan. Cara ini baik untuk meningkatkan koordinasi mata dan
tangan serta membina konsep. Ia membantu anak untuk belajar
menyelesaikan banyak masalah dan menjadikan mereka lebih bijak.
Tidak
membenarkan anak melakukan sendiri dan banyak perkara untuk mereka
adalah tidak bagus. Ini akan mengganggu emosi kerana kita melakukan
sesuatu yang berlawanan dengan fitrah mereka. Malah, ia juga akan
melambatkan proses perkembangan mereka.
# Mendidik dengan disiplin dan ketegasan.
Anak
mesti didisiplinkan dengan ketegasan. Contohnya, Islam menyarankan ibu
bapa melatih anak mengerjakan solat sejak berumur tujuh tahun seperti
sabda Rasulullah bermaksud: “Suruhlah anak-anakmu mendirikan solat
ketika mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika tidak mahu
menunaikan solat ketika berumur 10 tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur
mereka (putera dan puteri).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Hukuman dikenakan ke atas anak hanya sekiranya mereka masih ingkar setelah dilatih selama tiga tahun.
Had
dan peraturan mesti ditetapkan supaya disiplin dapat disemai. Kita juga
perlu bijak dan tegas dalam menangani masalah tingkah laku anak.
Sekiranya kurang tegas anak akan tahu kelemahan kita. Ini menyukarkan
usaha menerapkan sesuatu kebiasaan dalam diri mereka.
Fitrah
anak adalah mempelajari sesuatu dengan cara tersusun. Setiap daripada
kita perlu sentiasa menimba ilmu dan mempunyai sumber rujukan di rumah.
Sikap selalu membaca, bertanya dan berkongsi pengalaman membesarkan
anak juga akan banyak membantu.
Kita juga mestilah mempunyai
sifat asas iaitu ikhlas, takwa dan amanah. Anak harus dihormati dan
dididik dengan hikmah dan penuh kasih sayang. Menghargai perasaan
mereka melalui pujian dan ganjaran juga dapat membantu membina sahsiah
diri dan mengubah tingkah laku.
INFO
Peranan utama ibu bapa, pengasuh dan orang dewasa
# Sebagai qudwah hasanah.
# Mengasuh dan mendidik dengan adat kebiasaan.
# Mendidik melalui nasihat.
# Memberi perhatian dan sebagai pemudah cara.
# Mendidik dengan disiplin dan ketegasan.